Pernahkah kita terfikir apakah tujuan sebenar kita diciptakan ke dunia ini. Sedangkan dari sebesar-besar gunung hingga ke sekecil-kecil semut pun ada tujuannya tersendiri, inikan kita yang sempurna dan indah ciptaan-Nya. Maha Suci Allah yang tidak lengah(lalai) pada ciptaan-Nya.

Tidak pernah terdetikkah untuk apa kita dijadikan? Adakah manusia sekadar penghias dunia semata-mata, atau lebih kepada PEROSAK DUNIA?

Maka apakah kamu mengira bahwa kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?.

(Al-Mu’minun:115).

Jelas bahawa setiap satu ciptaan itu ada tujuannya. Seorang tuan rumah pun akan memarahi  pembantu rumahnya, (bibik) jika dia tidak tahu tujuan dia diambil bekerja. Apatah lagi kita manusia ciptaan Allah yang menikmati pelbagai nikmat kurniaanNya.

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku.

(az-Zariyat: 51)

Allah s.w.t telah berfirman dengan jelas tentang tujuan ini di dalam ayat Al-Quran. Sedarkah kita dengan tugas kita ini???

Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku ingin menjadikan khalifah di bumi”. Mereka berkata ” Apakah kau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, ” Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

(Al-Baqarah:30)

Maha suci Allah menjadikan kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Betapa berat dan besar amanah, tugas yang perlu kita pikul. Khalifah berperanan mengurus dan mentadbir bumi mengikut hukum Allah yang telah ditetapkan . Adakah kerja keras kita selama ini hanyalah berusaha untuk mencari kejayaan demi kesenangan sendiri menepati kehendak TUAN KITA INI?.

Adakah Pengarah sebuah syarikat pembinaan akan merasa gembira dengan kerja-kerja pekerjanya yang membina HOTEL walaupun ditugaskan membina deretan rumah kedai?.

Katakanlah (Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.”

(Yusuf:12)

Kita juga berperanan untuk menyambung jejak langkah Rasulullah S.A.W menyeru manusia mencari keredhaan Allah S.W.T. Malulah kita kepada sang semut yang kerdil andai mereka lebih cekap dan effisyen dalam menjalankan tanggungjawabnya. Setelah beraneka rahmat dikurniakan kepada kita dari sihat tubuh badan hingga kepada kebijaksaan dalam pembelajaran, adakah kita masih mahu lari dari tanggungjawab kita ini?.


Andai satu hari nanti segala jenis pinjaman yang kita miliki seperti kekayaan, kesihatan dan kebijaksaan ditarik adakah kita tidak malu merayu meminta agar ianya dikembalikan?. Sedangkan sebelum ini kita tidak pernah peduli tentang TUJUAN ia dipinjamkan kepada kita.

Malangnya kita jika mengabaikan tanggungjawab kita ini. Pastikah kita dimana tempat kita diakhirat kelak? Dunia hanyalah satu OASIS yang perlu kita tinggalkan setelah menjalankan tanggungjawab dan tugas yang diberi. Berilah apa saja alasan kerana sesungguhnya hanya DIA yang mengetahui bila saat kita akan kembali padaNYA.